Tuesday, July 13, 2010

ABU TALHAH suka bersedekah

Terbaca kat sisipan Agama Mega...bagus gak sebagai peringatan dan panduan di bulan Syabaan ni, sebulan lagi nak sambut Ramadhan... maka yang nak tambah pahala tu boleh la tambah amalan secara bersedekah!!! Inssyallah dengan niat tulus ikhlas kita Allah swt akan menambahkan lagi rezeki dan mempermudahkan segala urusan di dunia dan semestinya di akhirat nanti hanya DIA yang menentukannya.

TALHAH bin Ubaidillah bin Usman bin Kaab bin Saad adalah seorang sahabat Nabi Muhammad saw yang dijamin masuk syurga. Beliau jua adalah pahlawan Islam yang sama-sama berjuang melindungi Nabi Muhammad ketika melawan musuh.

Semasa perang Uhud, Abu Talhah adalah antara orang yang melindungi Nabi Muhammad saw daripada terkena panah. Dalam perang Uhud itu, Abu Talhah sanggup mengorbankan dirinya melindungi Nabi Muhammad saw sehingga jari-jari tangannya menjadi lumpuh.

Semasa peristiwa perang Jamal pula, Abu Talhah terkorban kerana terkena panah. Beliau meninggal dunia pada tahun 36H bersamaan 656 Masihi.

Abu Talhah ialah orang yang kaya. Beliau adalah orang Ansar dan merupakan sahabat Nabi Muhammad saw yang sangat dermawan. Abu Talhah mempunyai sebidang kebun yag ditanam dengan kurma.

Pada suatu hari, Abu Talhah mendengar ayat al-Quran daripada surah Al-Imran ayat 92, 'kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya'.

"Saya mempunyai harta yang banyak. Ayat al-Quran itu menyedarkan saya bahawa saya sepatutnya memberi sedekah sebahagian daripada harta saya kepada orang yang memerlukannya," bisik Abu Talhah selepas mendengar ayat al-Quran itu.

Selepas mendengar ayat itu, Abu Talhah berjumpa dengan Nabi Muhammad saw. Tanpa berlengah, beliau menceritakan niatnya itu kepada Nabi Muhammad saw.

"Wahai Nabi Muhammad, saya mendengar satu ayat tentang harta yang saya ada ini. Selepas mendengar ayat itu, saya bercadang mahu menyedekahkan harta itu bagi dibuat kebajikan kepada masyarakat Islam.

"Harta yang saya maksudkan adalah kebun kurma yang terletak di hadapan Masjid Madinah itu" terang Abu Talhah kepada Nabi Muhammad saw.

"Saya bersedekah harta ini supaya ekonomi masyarakat Islam terus meningkat. Hasil daripada kebun kurma ini dapat menambahkan pendapatan negara kita" jelas Abu Talhah kepada Nabi Muhammad saw lagi.

Rasulullah tersenyum mendengar penjelasan Abu Talhah. Kebun kurma yang diceritakan oleh Abu Talhah itu memang dapat membantu dari segi ekonomi masyarakat Islam. Tambahan pula Nabi Muhammad saw sendiri selalu mengunjungi kebun kurma itu.

"Masihkan kamu mempunyai adik-beradik dan saudara-mara" tanya Nabi Muhammad saw kepada Abu Talhah.

"Ya saya mempunyai saudara-mara terdekat yang masih hidup. Mengapakah Nabi Muhammad saw bertanya hal itu", tanya Abu Talhah pula.

Nabi Muhammad datang ke tempat duduk Abu Talhah. Kemudian beliau memandang tepat wajah Abu Talhah.

"Begini saya cadangkan supaya kamu sedekahkan kebun kurma itu kepada ahli keluarga kamu yag terdekat. Hal ini kerana ahli keluarga kamu perlu dibantu terlebih dahulu.

"Dengan itu, keluarga kamu hidup dengan lebih baik dan dapat membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan kelak". kata Nabi Muhammad saw.

Mendengar penjelasan itu, Abu Talhah mememui saudara-maranya bagi menunaikan niatnya itu. Semasa dalam perjalanan menuju ke rumah saudaranya itu, Abu Talhah sering mengingat nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw itu.

Sampai sahaja di rumah saudaranya yang terdekat itu, Abu Talhah menceritakan tujuannya ke sana.

"Wahai saudaraku yang dihormati, saya datang ke sini adalah untuk sedekahkan harta yang ada pada saya ini", kata Abu Talhah kepada saudaranya itu.

Kemudian saudaranya emmbalas, "Bukankah lebih elok harta itu kau sumbangkan kepada Baitulmal".

"Memang pada mulanya niat saya mahu berbuat demikian. Namun selepas saya berjumpa Nabi Muhammad saw, beliau menasihatkan saya supaya harta ini diberikan kepada saudara yang terdekat. Maka saya ke mari bagi menyerahkan harta ini kepada kamu," terang Abu Talhah.

Atas nasihat Nabi Muhammad saw itu tadi, beliau menyerahkan kebun kurma itu kepada saudara-maranya yang terdekat.

"Semoga Allah membalas jasa baik kamu dan menambahkan lagi rezeki kamu", kata saudara Abu Talhah.

Kemudian Abu Talhah beredar meninggalkan perkarangan rumah saudaranya itu. Ketaatannya pada Allah swt dan Nabi Muhammad saw itu menjadikan beliau seorang yang benar-benar beriman, suka bersedekah dan dermawan dalam usahanya mencari keredaan Allah.

Petikan buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn Bhd.

No comments: