Tuesday, May 12, 2009

Kalamullah

Ganjaran kepada orang beriman
Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang beragama Yahudi dan orang-orang beragama Nasara (Nasrani), dan orang-orang Sabi'in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Bagarah: 62)

Huraian
Di dalam ayat ini dijelaskan maksud orang yang beriman ialah kaum muslimin, dan orang-orang yang 'Hadu' diertikan orang-orang yang kembali kepada Allah dan anak-anak cucu keturunan Yahudi, manakala orang-orang Nasara ialah pengikut-pengikut Nabi Isa AS.

Orang-orang Sabi'in pula ialah kumpulan musyrikin Arab sebelum kebangkitan Rasulullah SAW yang meragui kepercayaan kaum mereka lalu menerima akidah tauhid dan beribadat mengikut agama Hanifiyah iaitu agama Ibrahim a.s.

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat daripada semua golongan serta mengerjakan amalan yang soleh, akan memperoleh ganjaran mereka masing-masing di sisi Allah.

Allah menjanjikan tiada lagi sebarang ketakutan dan dukacita kepada golongan ini. Dia (Allah) mengambil kira hakikat akidah seseorang dan bukannya bangsa atau kaum. Kedudukan itu adalah sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW.

Adapun kedudukan selepas kebangkitan beliau, maka corak dan bentuk keimanan yang diterima telah ditentukan Allah.

Kesimpulan

Umat Islam perlu memelihara keimanan mereka kerana iman merupakan satu nikmat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah yang mana Allah menjanjikan ganjaran yang besar di sisi-Nya bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

No comments: