Wednesday, June 3, 2009

Tawakal ibadah hati paling utama mengharapkan sesuatu

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli.

Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan.

Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah.

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.

Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq: “Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”

Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: “Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad.”

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asas, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata.

Allah berfirman bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaq ayat 3).

Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya.

Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.

Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Rum ayat 47)

Tuesday, June 2, 2009

Elak ambil makanan berlemak












Kurangkan penggunaan lemak dalam penyediaan makanan dengan menghadkan pengambilan makanan bergoreng dan menggunakan sedikit minyak ketika memasak.

Pengambilan lemak sepatutnya tidak melebihi 30 peratus jumlah kalori harian dan jika berlebihan, ia akan membentuk plak pada dinding saluran darah sehingga menyebabkan salur darah tersumbat. Cara lain bagi mengurangkan pengambilan lemak ialah menyediakan makanan rendah lemak dan memilih makanan rendah kolestrol.

Garam juga perlu diambil secara sederhana bagi mengelak penyakit darah tinggi, tetapi ia perlu ada dalam hidangan bagi keperluan tubuh.

Dalam sehari, manusia hanya memerlukan 500mg garam sedangkan mengikut ukuran satu sudu teh adalah bersamaan 2,100mg garam. Jadi, untuk mengelak penggunaan berlebihan, pelbagai produk lain boleh digunakan sebagai sumber alternatif seperti MSG, kicap soya dan sos.

Elakkan juga penggunaan garam ketika menyedia dan memasak makanan dan elakkan menabur garam ketika menghidangkan makanan.

Hadkan penggunaan sos dan serbuk perasa serta kurangkan kekerapan menghidang telur masin, ikan masin, sayur jeruk dan makanan diproses.

Kurangkan penggunaan gula dalam masakan dan pilih makanan yang rendah kandungan gula. Walaupun gula tidak mempunyai nutrien, ia penting dalam membekalkan tenaga. Setiap individu memerlukan 50mg gula sehari, tetapi pemgambilan berlebihan boleh menyebabkan kegemukan.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati penduduk berumur 18 hingga 59 tahun mengambil 21gm gula pasir sehari (bersamaan 4 sudu teh) dan mereka juga cenderung mengambil 30gm susu pekat manis sehari (bersamaan 3 sudu teh) untuk ditambah ke dalam minuman.

Panduan terbaik menyajikan hidangan rendah gula, adalah dengan menyediakan minuman dengan gula atau susu rendah lemak secara berasingan, selain mengelak daripada menyalut kek dengan gula atau ising serta menambah gula dalam jus buahan.

Paling penting, setiap individu perlu minum enam hingga lapan gelas air sehari walaupun tidak merasa dahaga. Air adalah bahan penting untuk fungsi fisiologi di dalam badan, mengekalkan suhu badan dan pengeluaran bahan sisa daripada badan.

Elak daripada meminum teh tarik ketika makan nasi atau menikmati hidangan kerana ia boleh membantutkan pembentukan hemoglobin (sel darah merah) dan akhirnya mengundang penyakit.

Teh boleh diminum, tetapi dengan syarat dua jam selepas seseorang itu selesai makan nasi atau menikmati hidangan.

Sumber BH

Monday, June 1, 2009

Kesihatan

Pengendalian Makanan Bersih Elak Jangkitan Bakteria

Adalah penting kita benar-benar menjaga kebersihan makanan dan bahan mentah yang disediakan bagi mengelakkan makanan daripada tercemar dan menyebabkan keracunan makanan. Sama ada memasak sendiri di rumah mahu pun ketika makan di luar, aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah kebersihan ketika mengendalikan kerja memasak.

Aspek kebersihan yang perlu diperhatikan bukan setakat kepada makanan yang disajikan di meja tetapi persekitaran di dapur anda, di dalam sinki tempat mencuci ikan, ayam, buah-buahan dan sayuran; pisau dan bekas yang digunakan untuk memotong dan cara memasak makanan itu juga penting.

Adalah penting anda memastikan sinki anda sentiasa bersih dan disiram dengan air panas setiap pagi bagi mengelakkan bakteria membiak di bahagian lubang sinki itu. Begitu juga dengan pisau pemotong daging hendaklah dibersih dan direndam dengan air panas selepas digunakan.

Ruangan dapur yang tidak diselia dengan elok menjadi tempat tinggal lalat, tikus dan lipas yang menjadi ejen pembawa pelbagai penyakit ke situ.

Sekiranya anda berminat mengajak pasangan dan anak makan di mana-mana restoran, cuba-cubalah menjengah seketika ke ruangan dapurnya, lihat sama ada tahap kesihatan di dapur memuaskan hati atau tidak, lantainya dimop bersih manakala tandas yang terletak berhampiran dengan dapur terjaga dengan baik dan sentiasa bersih.

Memang sukar bagi kita untuk membezakan makanan yang sudah dicemari. Hanya cara penyediaan dan pengendalian yang bersih dan teliti saja dapat mengatai dan mengelakkan keracunan makanan.

Sekiranya aspek asas ini tidak memuaskan hati anda, segeralah bawa pasangan dan anggota keluarga anda berpindah ke restoran yang lebih bersih sebagai langkah berhati-hati mengelakkan anda sekeluarga terkena keracunan makanan.

Di antara punca keracunan makanan ialah disebabkan jangkitan bakteria, protozoa, penggunaan racun serangga kepada sayuran dan buah-buahan yang berlebihan; virus, racun dari kulat yang membiak pada makanan dan bahan kimia.

Perlu diingat keracunan makanan boleh berlaku dalam tempoh 48 jam sesudah anda memakan makanan yang tercemar. Tanda-tanda anda diserang keracunan makanan termasuklah berasal mual, muntah, cirit birit, pening-pening serta gangguan perut.

Kesannya, bahaya keracunan makanan ialah kehilangan banyak air dalam badan. Oleh itu, sekiranya anda mengalami keracunan makanan, minum lebih banyak air yang ditapis atau air mineral yang dibeli dari kedai bagi menggantikan air yang banyak hilang dari tubuh anda.

Keengganan anda berbuat demikian boleh membawa akibat yang serius kerana kehilangan air dalam badan yang serius boleh membawa maut. Selain itu keracunan saraf yang berpunca daripada keracunan makanan juga boleh mengancam nyawa.

Memandangkan kandungan air dalam tubuh manusia berpuasa adalah kurang daripada biasa, sekiranya berlaku kerancunan makanan ia akan jadi lebih serius.

Kini semakin banyak sayuran dan buah-buahan organik boleh dibeli di pasaran dan ini dapat mengurangkan lebih banyak bahan kimia dan racun seranggan dimakan bersama-sama bahan tadi dan menyebabkan keracunan makanan.

Biarpun harganya lebih tinggi berbanding bahan bukan organik namun anda boleh memastikan keselamatan anda sekeluarga lebih terjamin.


Sumber BH
oleh: Habsah Dinin