Friday, November 26, 2010

SINUS - Cegah Sebelum Merebak

Gejala selsema seperti hidung tersumbat, sakit pada pipi, sekitar mata serta kekerapan bersin terutama pada waktu pagi memang merimaskan. Lebih tidak selesa apabila muka terasa gatal seperti ada benda merayap.

Rasa kurang selesa semakin bertambah apabila di bahagian tekak bagaikan dipenuhi dengan kahak.

Jika anda mempunyai simptom seperti itu ia menandakan anda mungkin mengalami masalah sinusitis.

Sinusitis ialah keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus. Sinusitis juga menyebabkan kita menjadi sangat sensitif kepada bahan yang boleh menyebabkan alahan, termasuk perubahan cuaca (sejuk), pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria.

Pada tulang tengkorak kita ada beberapa tulang berisi udara dan diseluputi mukus serta membuka ke dalam kaviti (ruang) hidung. Ruang ini dipanggil sinus.

Sinusitis adalah masalah yang sangat lazim di seluruh dunia. Jika dibuat imbasan pada 10 orang normal, 80% kes sinusitis berpunca daripada selsema biasa yang tidak dirawat dan berlanjutan lama. Ini bermaknsa seseorang individu itu mengalami jangkitan bakteria sekunder yang berlaku ketika selsema.

Selain itu ia juga berpunca akibat daripada perubahan cuaca sejuk, jangkitan fungus, masalah sistem imun seperti dialami penghidap virus HIV dan pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.

Tidak kurang juga jangkitan pada gigi (ketika rawatan gigi yang merebak ke ruang sinus) di samping jangkitan yang berlaku ketika berenang atau menyelam dalam air yang tercemar dan masuk ke ruang sinus.

Mereka yang mempunyai asma, mengalami ketumbuhan (polip) dalam hidung, alahan (pada habuk dan debunga) dan ada masalah membabitkan aliran mukus (lendir) dalam sistem pernafasan seperti sisa fibrosis adalah lebih mudah mengidap sinus.

Jika keradangan sinus tidak mendatangkan masalah, anda tidak perlu mendapat rawatan. Ramai orang ada dalam kategori ini.

Bagaimanapun, jika sinusitis mula menyebabkan gangguan pada kesihatan seperti demam, sakit kepala dan leher, muka sakit dan bengkak, anda disaran berjumpa doktor.

Jika didapati sinusitis anda teruk, usah biarkan ia berlanjutan kerana melengahkan rawatan boleh menyebabkan masalah anda bertambah buruk. Jangkitan bakteria perlu dihapuskan kerana ia boleh memasukit aliran darah dan mengakibatkan keracunan yang menyebabkan seluruh badan terasa sakit.

RAWATAN SINUS

- Pengambilan ubat seperti antibiotik yang disarankan oleh doktor. Pesakit perlu memastikan ubat atau antibiotik yang diberi doktor dihabiskan, walaupun gejala sinusitis hilang sepenuhnya.

- Jika sinusitis disebabkan alahan, doktor mungkin memberi anda ubat kortikosteroid dalam bentuk semburan hidung atau pil. Pengambilan ubat ini seharusnya boleh mengurangkan gejala sinusitis dan sakit kepala.

- Jika masalah masih tidak berkurangan dengan pengambilan ubat, doktor mungkin mencadangkan anda menjalani pembedahan dipanggil antral-puncture and wash-out. Ia prosedur pendek (10-15 minit) di bawah bius setempat (dewasa) atau bius umum (seluruh badan) bagi kanak-kanak.

Sumber: Harian Metro.

No comments: