Pengendalian Makanan Bersih Elak Jangkitan Bakteria
Adalah penting kita benar-benar menjaga kebersihan makanan dan bahan mentah yang disediakan bagi mengelakkan makanan daripada tercemar dan menyebabkan keracunan makanan. Sama ada memasak sendiri di rumah mahu pun ketika makan di luar, aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah kebersihan ketika mengendalikan kerja memasak.
Aspek kebersihan yang perlu diperhatikan bukan setakat kepada makanan yang disajikan di meja tetapi persekitaran di dapur anda, di dalam sinki tempat mencuci ikan, ayam, buah-buahan dan sayuran; pisau dan bekas yang digunakan untuk memotong dan cara memasak makanan itu juga penting.
Adalah penting anda memastikan sinki anda sentiasa bersih dan disiram dengan air panas setiap pagi bagi mengelakkan bakteria membiak di bahagian lubang sinki itu. Begitu juga dengan pisau pemotong daging hendaklah dibersih dan direndam dengan air panas selepas digunakan.
Ruangan dapur yang tidak diselia dengan elok menjadi tempat tinggal lalat, tikus dan lipas yang menjadi ejen pembawa pelbagai penyakit ke situ.
Sekiranya anda berminat mengajak pasangan dan anak makan di mana-mana restoran, cuba-cubalah menjengah seketika ke ruangan dapurnya, lihat sama ada tahap kesihatan di dapur memuaskan hati atau tidak, lantainya dimop bersih manakala tandas yang terletak berhampiran dengan dapur terjaga dengan baik dan sentiasa bersih.
Memang sukar bagi kita untuk membezakan makanan yang sudah dicemari. Hanya cara penyediaan dan pengendalian yang bersih dan teliti saja dapat mengatai dan mengelakkan keracunan makanan.
Sekiranya aspek asas ini tidak memuaskan hati anda, segeralah bawa pasangan dan anggota keluarga anda berpindah ke restoran yang lebih bersih sebagai langkah berhati-hati mengelakkan anda sekeluarga terkena keracunan makanan.
Di antara punca keracunan makanan ialah disebabkan jangkitan bakteria, protozoa, penggunaan racun serangga kepada sayuran dan buah-buahan yang berlebihan; virus, racun dari kulat yang membiak pada makanan dan bahan kimia.
Perlu diingat keracunan makanan boleh berlaku dalam tempoh 48 jam sesudah anda memakan makanan yang tercemar. Tanda-tanda anda diserang keracunan makanan termasuklah berasal mual, muntah, cirit birit, pening-pening serta gangguan perut.
Kesannya, bahaya keracunan makanan ialah kehilangan banyak air dalam badan. Oleh itu, sekiranya anda mengalami keracunan makanan, minum lebih banyak air yang ditapis atau air mineral yang dibeli dari kedai bagi menggantikan air yang banyak hilang dari tubuh anda.
Keengganan anda berbuat demikian boleh membawa akibat yang serius kerana kehilangan air dalam badan yang serius boleh membawa maut. Selain itu keracunan saraf yang berpunca daripada keracunan makanan juga boleh mengancam nyawa.
Memandangkan kandungan air dalam tubuh manusia berpuasa adalah kurang daripada biasa, sekiranya berlaku kerancunan makanan ia akan jadi lebih serius.
Kini semakin banyak sayuran dan buah-buahan organik boleh dibeli di pasaran dan ini dapat mengurangkan lebih banyak bahan kimia dan racun seranggan dimakan bersama-sama bahan tadi dan menyebabkan keracunan makanan.
Biarpun harganya lebih tinggi berbanding bahan bukan organik namun anda boleh memastikan keselamatan anda sekeluarga lebih terjamin.
Sumber BH
oleh: Habsah Dinin
No comments:
Post a Comment