Saturday, April 30, 2016

Sup Labu Kuning

Labu kuning ada lagi separuh...dah buntu nak masak apa. Kalau buat kuih manis tak ada yang minat nak makan, jadi saya terfikir buat sup nanti boleh makan atau cicah dengan roti. 

Cara dan bahan yang saya guna untuk masak sup ini ;
Bawang putih, bawang holland dan labu kuning yang dipotong dadu ditumis dengan majerin, masukkan stok ayam, daun saderi...masak sehingga labu lembut. Kemudian blend bahan2 tersebut (pastikan sejuk atau suam sebelum blend). Masak sehingga mendidih dan masukkan susu cair atau susu sejat dan perasakan dengan garam dan sedikit maggi secukup rasa.
Siap!!! Boleh dicicah dengan roti atau dimakan dengan oat ataupun hirup sup ini saja pun sedap.

Sup labu atas dapur hampir masak...nanti hidang panas-panas untuk nikmati kelazatan labu...

Friday, April 29, 2016

Banana Pie

Ini je yang hidangan makan tengahari saya hari ini...hasilnya didapati di McD, berbagai menu MCd jual yang ini je menarik perhatian...makanan lain tak terbuka selera untuk membelinya.

Packaging box warna pink!!! adakah makanan ini salah satunya untuk tarik perhatian kanak-kanak?
.

Ayam Masak Kicap

Masak kicap merupakan lauk kegemaran saya bila berpuasa...tak kisah la ayam, daging atau ikan janji masak berkicap. Bila ada lauk macam ni cukup makan nasi dengan satu jenis lauk ini je. Itu la selera kita kan berbeza!!! Alhamduillah puasa sunat hari khamis dapat tunai walaupun keadaan cuaca yang agak panas dan kering...syukur Allah swt beri kekuatan atas niat yang tulus untuk aku menjalani ibadah puasa sunat setiap isnin dan khamis...semoga niat ini menjadi amalan berterusan. Amin.

Ayam masak kicap ....walaupun rupanya hitam namun dia tetap menjadi tarikan selera untuk dijamah...

Thursday, April 28, 2016

Bihun Sup Utara

Selera nak makan bihun sup stail utara ni tertunai malam ini setelah beberapa hari teringin...semasa di ofis cuba juga intai kat kedai makan tapi tak ada bihun sup seperti yang saya nak. Kebetulan pula penghuni rumah ni ada yang tak nak makan nasi malam ni...jadi ada la kawan untuk saya bergandingan makan bihun sup. Bahan untuk kuah sup saya masak sup ayam. Manakala rencah pula  isi ayam, tauhu goreng, begedil ayam, taugeh, daun sup, salad, bawang goreng dan sambal kicap.

Ini la bihun sup utara yang saya tercari-cari kat kedai..ianya ringkas je tak banyak rencah atau lauk cukup la ada sup ayam dan isi ayam serta begedil...malam ni saya berjaya masak sendiri.



Wednesday, April 27, 2016

Begedil Ayam

Petang ni saya masa begedil ayam campur dengan ubi ketang, makanan macam ni jarang sekali saya masak, ya la ianya tidak termasuk dalam senarai makanan kegemaran saya...tapi mengenangkan penghuni rumah ni mengemarinya maka saya berusaha la memasaknya. Lagi pun malam ini hidangan makan malam kami bihun sup sebab tu la saya masak begedil ini. 

Bahan dan cara saya masak begedil ayam pilih cara yang cepat. Saya guna ayam kisar brand ramly, ubi kentang digoreng kekuningan dan ditumbuk, bawang holland potong dadu, daun sup, bawang goreng dan sedikit lada sulah serta garam. Sebiji telur untuk celup begedil sebelum digoreng.
Begedil yang sudah digoreng dan separuh belum digoreng...boleh dimakan dengan bihun sup atau pun hidangan lain.

Bahan2 untuk begedil telah sedia  diproses : ubi kentang + ayam kisar + bawang holland + bawang goreng + daun sup + lada sulah dan garam disatukan dam digaul kemudian dibentuk bulat dan dicelup dalam telur....goreng!!!




Tuesday, April 26, 2016

Pajeri Nenas

Petang masak pajeri nenas...minggu lepas beli nenas size kecil beberapa biji, nenas jenis ni memang manis dan cukup sedap dimakan biasa je. Tapi petang ni teringin pula nak makan pajeri nenas. Masak je la ya bukannya susah pun setakat masak sebiji nenas bukannya nak masak untuk kenduri. 

Bahan untuk masak Pajeri nenas - sebiji nenas dipotong bulat atau dadu, tumis rempah 3 sekawan kemudian masukkan bawang putih + merah + halia yang dimayang atau diblend, masukkan rempah kari masak sehingga pecah minyak, masukkan santan, udang kering yang ditumbuk, udang segar (jika ada stok), nenas dan krisik serta garam gula. Masak sehingga kuah menjadi pekat.

Pajeri nenas campur udang segar cukup sedap...

Proses memasak pajeri nenas untuk bagi kuah menjadi pekat...kuah yang pekat ni bila makan dengan nasi panas dan ikan goreng cukup sedap tambah pula ada rasa manis udang dan nenas.


Sekadar Kongsi Bacaan

Mari la kita mengejar keberkatan dan jadikan amalan membaca Al-Quran sepanjang hayat.

Monday, April 25, 2016

Telur Itik Masak Lemak.

Hari ni berkesempatan untuk masak telur itik yang dibeli sudah hampir seminggu....nasib baik la telur ini tidak menetas. Itulah sindir Mr Right kat saya bila terhidangnya masak lemak telur itik...sabar jer la ya. Biasa la puan2 mesti fahamkan bila nak masak sesuatu menu tu kena ada mood.

Ini la dia rezeki untuk kami berbuka puasa petang ini.

Kerabu Jantung Pisang

Salah satu menu penambat selera untuk berbuka puasa atau makan malam kami ialah kerabu jantung pisang. Rasanya sudah bertahun-tahun saya tak makan kerabu jantung pisang...biasa la agak sukar untuk ditemui kecuali pergi pasar basah atau pasar tani. Syukur rezeki orang berpuasa dapat la masak dan makan kerabu jantung pisang... sejak kecil lagi kami diajar makan makanan macam ni... maka tak harian la sekarang ni bila dapat makan rasa tak nak berhenti menyuap....Cara dan bahan2 untuk buat kerabu jantung pisang ni sama je cara buat kerabu2 lain, cuma yang membezakannya ada bahan utamanya contohnya jantung pisang atau mangga atau pucuk paku dan sebagainya. 

Untuk kerabu ini sejantung jantung pisang (jenis jantung pisang tu bagi saya tak kisah dari jenis apapun). Jantung pisang tersebut dipotong nipis direndam sekejap dengan sedikit garam  kemudian dicelur/rebus hingga lembut. Bila sudah lembut diperah untuk buang air yang menyerap dalam jantung pisang tersebut. Sediakan bahan2 rencah kerabu untuk ditumbuk/blend - bawang merah + halia + serai + lada hitam + kelapa goreng + sedikit kelapa biasa + isi ikan rebus atau bakar + garam gula.  Campur
dan gaul bahan diblend dengan jantung pisang kemudian letak sedikit santan mentah/segar (santan ni pilihan) saya suka letak santan sebabnya bila makan terasa lembab dan lemak. 

Makan jantung pisang, in sya Allah tidak mendatangkan penyakit...jangan pulak makan hati berulang jantung itu sudah menyusahkan hidup.






Friday, April 22, 2016

Ikan Percik

Hari ni untuk makan malam saya masak percik ikan selar, singgang ikan dan telur dadar, ulam timun cicah sambal. Masa di ofis tadi plan nak masak lauk lain....bila buka peti ais terus tukar menu. Sebenarnya selera orang tak sihat ni tidak menentu...apa pun orang yang sihat tidak kisah apa yang saya sediakan. Alhamduillah syukur tak banyak kerenah.

Ikan Selar masak percik ni lain dari biasa...sebelum ni saya suka masak percil putih..tapi hari ni masak ikan percik yang bercili...cara nak masak percik ni bahanya sama je dengan percik putih seperti bawang merah, putih, halia, serai, santan, asam keping, garam gula dan cuma yang ini tambah cili kering yang dikisar. Masak sehingga pekat. Ikan sebelum dibakar perap dengan sedikit garam ditumbuk dengan halia dan bawang putih. Bakar ikan sehingga masak kemudian letak sedikit sos percik dan bakar sekejap....angkat dan boleh la tambah sos percik sekiranya suka lebih sos.

Ikan tenggiri singgang...resipinya biasa je...lengkuas, bawang putih, sedikit bawang holland dimayang, asam keping, cili padi, bendi dan garam serta sedikit nesan.






Nasi dan Sayur Air

Petang semalam badan tak sihat...ada ruam demam, seperti panas kepala dan badan seram sejuk. Maka selera untuk makan makanan yang pedas atau berempah dan berlemak agak kurang...memandangkan nak ambil ubat saya masak sup sayur atau sayur air sawi yang ringkas je.


Nasi biasa + sayur air sawi campur ubi kentang dan ikan bilis goreng, bila badan tidak sihat ini lah makanan kegemaran saya. Bila dapat hirup kuah yang panas badan pun rasa segar dan berpeluh.

Thursday, April 21, 2016

Telur Masin

Jom kita belajar buat telur masin atau telur jeruk. Mungkin ramai yang dah tau macamana cara dan proses buat telur masin...ada 2 cara iaitu menggunakan abu atau air garam. Saya pernah diajar oleh arwah ibu cara nak buat telur masin ni...biasa la kita kat kampung dulu2 ada pelihara itik dan semestinya telur itik agak banyak...tak harian la telur menjadi lauk kegemaran dan boleh dikatakan makanan harian kami mesti ada telur. Sekarang ni nak makan telur itik kena la beli dan agak susah nak jumpa...kebetulan hari ahad minggu lepas singgah kat Chow Kit...eeemm apa lagi...dalam fikiran ni terbayang sedapnya masak lemak telur itik. Tapi hari ni saya nak kongsi cara buat telur masin mengguna air garam.

15 biji telur itik dibersihkan
Anggaran air seliter lebih + garam separuh plastik size kecil (masak sehingga air mendidih dan garam hancur) Biarkan air tersebut sejuk sebelum digunakkan untuk merendam telur. Isi telur dalam balang masukkan air garam tersebut dan letak beberapa helai daun pandan untuk bagi hilang bau hanyir telur. Tutup balang tersebut dan jangkaan telur ini dijeruk 10-15 hari....atau pun bila agak2 nak tau telur tersebut cukup masin boleh la ambil sebiji 2 rebus/masak untuk tengok tahap kemasinannya. Selamat mencuba. 
Sebalang telur masin atau telur jeruk stok untuk puasa sunat bulan syabaan akan datang...lepas ni tak perlu lagi kita beli telur masin yang disalut dengan abu masin.





Wednesday, April 20, 2016

Caesar Salad

Beberapa hari dah tak berkesempatan jenguk ruangan ni...biasa la kekangan masa. Hari ni ambil sedikit masa untuk kongsi makan malam kami, hanya makan yang ringkas salad dan ayam goreng. Cuaca panas sekarang selera untuk makan nasi agak kurang...kalau boleh nak makan makanan yang sejuk seperti buahan dan sayuran je...senang cakap makanan yang mengandungi kandungan air dan boleh menyejukan badan.
Kandungan semangkuk caesar salad antaranya sayur salad, timun jepun, tomato, kentang goreng, telur rebus, cheasedale sebab tak ada chease parut, jus lemon dan minyak zaitun.

Ok sedia untuk dimakan...caesar salad, ayam goreng bersama sos cili dan mayonies.



Monday, April 18, 2016

Rendang Ayam

Masak rendang ayam, sekali sekala terlintas nak makan yang berkalori tinggi, masak je la ya kalau dah ada selera nak makan. Lauk ini sebenarnya saya masak untuk dimakan dengan nasi lemak...apa pun rendang ayam ni kalau dah ada semuanya boleh dijadikan lauk, nak makan dengan nasi, cicah roti etc...

Sila la rasa rendang ayam!!!

Sunday, April 17, 2016

Nasi Lemak Pandan

Pagi minggu!!! Menu untuk sarapan kami pagi ini nasi lemak pandan...penghias dan menceriakan pagi minggu kami. Beberapa hari tidak berkesempatan untuk update citerku... banyak urusan dan ada sedikit gangguan dalam seharian. Pagi ini dengan semangat yang lebih dari hari sebelum ni masuk dapur selepas subuh menyiapkan sarapan sebelum keluar pergi kelas mengaji.

Nasi lemak pandan, beras + air daun pandan + santan + bawang merah / putih + halia + serai + halba dan sedikit garam
 
Sambal ikan bilis!!!

Kacang dan ikan bilis sudah siap digoreng

Ini dia telur ayam yang sudah direbus
Timun!!!

Tuesday, April 12, 2016

Dim Sum

Ini salah satu menu berbuka puasa...dim sum ni saya beli, belum ada mood lagi nak buat sendiri. Makanan ni kegemaran saya... memang tak padang makanan lain kalau ada menu ni kat tempat buffet terutamanya bila berkunjung kat hotel. 

Saya beli yang frozen melalui syarikat Happy Dim Sum pengeluar dim sum halal...biasa la survey kat internet ada yang menjual secara online dan buat penghantaran terus. 

3 jenis saya beli Chicken Siew Mai,  Prawn Siew Mai dan Shanghai Dumpling...harganya dari RM20 - RM27 untuk 30 pcs bergantung pada jenis dim sum. 

Rasanya memang sedap...saya rekmen bagi yang nak mencubanya...tapi sos tidak disediakan, terpaksa la saya buat sendiri.

Monday, April 11, 2016

Sayur Air Kobis

Petang ni masak sayur air kobis campur bihun untuk menu berbuka puasa. Kepala ni dari tengahari berdenyut...jadi tak mampu nak masak berbagai jenis. Masak sayur kobis campur bihun ni tiba2 je terlintas di minda ni...teringat masa kecil selalu je makan lauk macam ni dengan nasi...memang sedap tambah pula bila ada telur dadar atau ikan goreng...sudah cukup kenyang isi perut bila balik dari sekolah. 

Bagi yang nak makan sup sayur ni je pun boleh sebab sudah lengkap dengan sayuran, ada rencah ayam, bebola daging dan bihun...tapi saya suka makan dengan nasi.

Sunday, April 10, 2016

Sayur Lemak Labu

Cuaca panas sekarang sedikit sebanyak mempengaruhi selera makan.... selain nak minum yang sejuk selera nak makan makanan pun kalau boleh nak makan yang sejuk juga. Ok cerita menu makan tengahari ni....menu orang tak ada selera nak makan dah tak tau nak masak apa encikkkk. Kita masak lemak labu, goreng ikan kembung, ikan masin dan ulam. Cukup la ya!!! 

Kita masak yang senang je la sebab dah lewat petang baru nak masuk dapur...lepas kelas mengaji tadi pergi melawat mak kawan sama mengaji sakit...maka kami lewat la sampai rumah dan makan tengahari hari pun terbabas ke petang.

Walaupun masak macam ni bila kena dengan lauk ikan goreng dan ikan masin serta ulaman habis juga sepinggan, maka tak perlu la kecoh kata tak ada selera nak makan ya!!!.

Friday, April 8, 2016

Crispy Cereal BG22

Bila sebut makan oat semua pasti tahu makanan untuk kesihatan. Biasanya oat BG22 ni saya makan yang jenis tepung kacau dalam air. Tapi sampai satu masa dah terasa jemu dan tak lalu nak telan. Hari ni terjumpa jenis crispy cereal brand yang sama...mungkin pengeluar ni tahu ramai bermasalah untuk makan oat biasa...maka syarikat ni ambil inisiatif menghasilkan jenis keropok atau snek untuk senang dimakan dan bila2 masa saja.

Pack size cukup senang dibawa...boleh letak dalam handbang untuk  kudapan bila terasa nak mengunyah.


Futtecine Sup Cendawan Campbell

Petang semalam rebus fettuccine, niat dihati nak buat menu fettuccine carbonara...rupanya sos carbonara tak ada stok dalam kabinet. Maka terpaksa la cipta resipi carbonara... saya guna sup cendawan brand campbell.

Cara dan bahan2nya -
Tumis bawang putih + halia + bawang holland, masukkan sup cendawan campbell + ayam yang dipotong dadu dan sosej + letak karot + susu segar dan chease.

Ok dah sedia untuk dimakan...bagi yang suka pedas letak cili padi ya!!!, sayur boleh la letak salad, cendawan, tomato dan sebagainya...resipi ni bila makan rasanya sama je dengan sos carbonara yang dalam tin.
Bekal!!!...memandangkan masih ada baki futtecine carbonara malam tadi maka saya bawa bekal untuk makan di ofis...tak perlu membazir lagipun masakan kita semestinya terjamin kebersihan dan kelazatannya.

Tuesday, April 5, 2016

Mee Kuah

Petang masak mee kuah Kelantan style!! Mee kuah ni rupanya lebih kurang mee sup cuma ada beza sikit dari segi bahannya. 

Bahan dan cara memasaknya - tumis bawang putih dan halia, rencahnya boleh letak apa je ayam, seafood etc + sayur-sayuran + sedikit cuka + air biasa untuk kuah + lada hitam yang ditumbuk + lada putih/sulah + garam. Itu saja bahan yang saya guna cukup ringkas.
Mee kuah yang ringkas letak apa stok yang ada je...kalau ada cili jeruk lagi sedap ...

Kailan Goreng

Sayur kailan goreng bersama ikan masin memang betul2 menambat hidung!!! Bau ikan masin tersebar seluruh rumah...apa lagi orang yang menghidunya sudah semesti terasa lapar. Salah satu menu makan malam yang menambat selera kami sebab sudah lama tak masak kalian ikan masin. 

Sayur yang paling cepat untuk dimasak...bawang putih+halia dipotong dan ditumis campur ikan masin + udang segar + sos tiram @ sedikit garam + cili padi + bawang holland dan sayur kailan goreng sekejap je elak sayur telalu layu....hidang dan sedia untuk dijamah. 

Sayur yang segar memang sedap dan menyelerakan.

Sunday, April 3, 2016

Kuih Ketayap

Kuih ni kami kenali dengan batang buruk atau kuih gulung...tapi bila bergaul dan berhijrah terikut la cara orang sekeliling panggil kuih ni kuih ketayap. Kuih ni sebagai pencuci mulut tetamu yang datang aka minum petang kami.

Resipi kuih ni teramat la jimat belanja - untuk bahagian kulitnya - tepung gandum + telur + susu cair + air biasa + air daun pandan dan sedikit pewarna hijau + secubit garam dan sedikit majerin diblend kecairan adunan tu agak2 la ya.

Inti - kelapa parut yang putih + gula melaka + gula biasa + daun pandan dan sedikit air + secubit garam masak sehingga jadi inti yang agak2 kering air...kalau ada isi durian atau isi nangka lagi sedap dimasak campur dalam inti tersebut.

Bila gigit kuih ni terasa lembut tepung dibahagian luar dan intinya sedikit lembab kemudian akan cari dalam mulut....uuuhh memang sedap ada rasa lemak manis. Itu la kesedapan kuih bila kita masak cara dan ikut selera kita, kalau beli kebanyakannya inti yang dibuat dari hampas kelapa...bila makan intinya rasa kering dan tidak berlemak.

Makan Tengahari dengan Tetamu

Hari ni mendapat kunjungan mak sedara sekeluarga...kebetulan mereka sampai waktu makan tengahari...jadi elok la jamu mereka dengan nasi. Adat la bila ada tetamu berkunjung hidangan yang terbaik adalah nasi...itu la yang diajar oleh kedua ibubapa saya sejak kecil dan sehingga sekarang tetap saya ingat dan amalkan....sebenarnya tetamu yang datang rumah kita membawa rezeki untuk kita...tidak perlu kita bersusah payah nak masak yang rumit...cukup la sekadar apa yang ada, janji kita layan dan hidangkan sedikit makanan sebagai isi perut mereka...tidak kira tetamu dekat atau jauh, masing-masing ada rezekinya.

Menu saya yang masak tiada yang istimewa...masak lauk yang biasa kami makan sayur lemak putih bayam, sambal sotong, ikan goreng, goreng kacang buncis dan ikan masin. Alhamduillah rezeki tetamu pun makan dengan selera walaupun masak ala kadar.
Sambal Sotong.
Kacang buncis + karot + sotong goreng bersos tiram...lauk yang mendapat sambutan!
Bayam merah masak lemak putih...tapi  kuahnya bertukar warna sebab daun bayam. merah..

Saturday, April 2, 2016

Ikan Siakap Stim Lemon

Cuaca panas sekarang...elak makan yang pedas dan berempah...nanti bertambah lah panas badan. Itu adalah peringatan untuk diri sendiri sebab badan ni cepat alah. Jadi hari ni masak ikan siakap stim  perisa lemon. Cuaca panas elok tambah vita C dari jus lemon ni. 

Kandungan dalam stim ikan : ikan siakap + bawang putih + halia + serai + bawang holland + tomato + jus lemon + sos ikan dan sos tiram + sedikit cili padi + daun limau purut dan daun sup.

Ikan siakap segar memang sedap kalau masak stim...terus hidang dan makan bila angkat dari pengukus!!!