Tertarik bila tengok contoh matawang RM yang baru ni. Warna setiap wang kertas semuanya nampak ceria. Note RM20 nampak menarik sekali sebab warna kekuningan tu rasanya warna pertama kali digunakan untuk matawang RM.
Not kertas, syiling tampil ciri-ciri unik negara, tahap keselamatan dipertingkat
KUALA
LUMPUR: Bank Negara Malaysia memperkenalkan siri mata wang baru yang
akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan, dilengkapi dengan
ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.
Siri baru diperkenalkan itu terdiri daripada wang kertas RM1, RM5,
RM10, RM20 dan RM100 serta melengkapi wang kertas RM50 yang mula
diperkenalkan sebelum ini.
Ia juga melengkapi mata wang siling baru yang diperkenalkan pada 25 Julai lalu dan akan digunakan bermula Januari ini.
Siri terbaru mata wang Malaysia mengambil inspirasi daripada pelbagai
ciri-ciri unik Malaysia, dengan menggunakan elemen khazanah semula jadi,
budaya dan warisan negara.
Pelancaran siri mata wang baru berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.
Bank Negara, dalam kenyataannya berkata mata wang baru itu menampilkan
ciri-ciri tradisional dari segi seni dan kraf, keindahan alam sekitar,
flora dan fauna serta ekonomi.
“Siri baru mata wang juga menggunakan ciri-ciri keselamatan
dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan terbaru dalam teknologi mata
wang.
“Ciri-ciri keselamatan bagi mata wang baru itu termasuk
imej bayangan, tetingkap lebih jelas, potret bertanda keselamatan dengan
piksel dan angka yang diserlahkan, benang keselamatan berwarna, benang
lensa mikro serta tampalan berkilat bagi memudahkan orang ramai mengenal
pasti nilai setiap satunya.
“Satu lagi ciri-ciri
dipertingkatkan ialah pengenalan secara sentuhan yang membolehkan
individu kurang penglihatan dapat mengenal pasti dan membezakan nilai
mata wang berbeza,” kata kenyataan itu.
Semua mata wang di
bawah siri baru berkenaan masih mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong
pertama, bunga raya, nilai muka bagi mata wang serta corak fabrik
tenunan tradisional songket di bahagian hadapannya.
Di bahagian
belakang pula, ia menampilkan elemen berlainan mengikut nilai termasuk
alam sekitar, budaya, tradisi, flora dan fauna yang mencerminkan
identiti Malaysia.
Mata wang baru itu juga masih mengekalkan
logo Bank Negara, siri nombor, perkataan bertulis jawi dan corak tenunan
songket di bahagian belakangnya.
Dengan pelancaran siri baru
berkenaan, Bank Negara akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan,
perniagaan dan vendor mesin kendalian tunai bagi memastikan perubahan
kepada mata wang baru dapat dilaksanakan dengan lancar.
Vendor
mesin kendalian tunai diberikan masa enam bulan untuk mengubah suai
mesin masing-masing bagi memastikan mata wang baru itu dapat digunakan.
Sementara itu, mata wang peringatan bagi siri baru berkenaan boleh
didapati di ibu pejabat Bank Negara dan cawangannya masing-masing di
Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu
bermula hari ini.
Sumber BH