Sunday, January 31, 2016

Ikan Siakap Stim

Hampir seminggu tidak kemaskini ruangan ini lantaran bercuti dan bila balik dari bercuti mood untuk jenguk ruangan ini pun ada sedikit kemalasan. Begini kan sikap aku tahun 2016 ini....mohon dijauhi dari 'kemalasan'.

Tengahari ini masak stim ikan siakap untuk hidangan makan tengahari kami.

Bahan2 untuk stim ikan:
Ikan siakap, bawang putih, halia, serai, bawang besar kuning, tomato, cili padi, karot, daun limau purut, daun sup, jus limau nipis, sos tiram, sos ikan, sedikit air utk kuah, sedikit garam untuk perap ikan sebelum stim.
Ikan siakap stim sudah siap dimasak...sedia untuk dimakan!!! Selamat menjamu selera.
Siap sedia untuk di stim!!!

Friday, January 22, 2016

Warna Warni Nasi Goreng

Rakan-rakan semua sudah sarapan ke? Jemput sarapan ya!!! jangan abaikan sarapan pagi sebabnya untuk kesihatan yang baik berpunca dari pengambilan makanan yang teratur dan mengikut masa.

Pagi ini kami sarapan nasi goreng yang berwarna warni seceria sinar mentari pagi jumaat yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

Nasi goreng warna warni - Bila dah makan sepinggan nasi goreng bersama sebiji telur goreng boleh kenyang hingga ke petang.

Thursday, January 21, 2016

Ikan Bakar Cicah Kicap

Sekali sekala tukar selera dari makan yang berkuah kepada ikan bakar cicah kicap je. Anggap kicap tu sebagai kuah...ni macam makanan kegemaran kanak-kanak je...kebanyakan kanak-kanak suka makan nasi dengan kicap. Apa pun   kami malam ni makan dengan sos kicap yang sudah dicampur dengan berbagai bahan. 

Ikan cencaru ni terpaksa dipotong sebab tidak muat untuk dibakar dalam kuali.
Sos kicap + perahan air limau nipis + bawang holland + tomato + cili padi
Bak choy + karot + udang di goreng dengan bawang putih, halia dan dicampur dengan sos tiram.

Sarapan Pizza!!!

Pizza versi roti keping...pagi ni agak ketandusan idea nak sediakan sarapan. Tengok ada roti massimo sebungkus...dah jemu asyik makan roti dengan jem atau planta. Apa kata kita buat roti keping ni ala-ala pizza...

Bahan-bahan dan cara penyediaan - 3 keping roti dicarik-carik (apa jenis roti pun tak kisah) disusun dalam loyang, (kalau loyang jenis melekat  sapu minyak atau majerin). Atas roti tu sapu sedikit  sos spagheti bolognese, tabur sausage, nugget yang dipotong, kemudian tabur bawang holland, tomato, sedikit mixvegi, daun bawang dan daun sup yang dipotong kecil, 2 biji telur dicampur sedikit susu cair/segar dipukul kemudian dicurah atas bahan2 tersebut dan akhir sekali tabur chease (saya hanya guna cheasedale sebab tak ada stok chease parmesan). Bakar 20 minit kepanasan 180c atau pun boleh guna kuali ajaib bakar atas dapur...tapi pagi ni saya guna oven sebab nak kejar masa.
  
Ini dia pizza versi roti keping yang tidak seindah pizza hut atau domino pizza, tapi rasa tu ada la ala-ala pizza cukup la untuk sarapan kami...lagipun penyediaannya kejar masa untuk keluar bekerja tak boleh nak bersolek lebih-lebih untuk sarapan tak perlu la berat kandungan kalorinya.
 

Wednesday, January 20, 2016

Sayur Kobis

Menu malam tadi sekadar masak sayur kobis masak lemak, goreng ikan dan ikan bilis goreng. Makan yang ringkas macam ni cukup menyelerakan. 
 
Sayur lemak putih kobis + karot + cili + santan + bawang merah + lada hitam dan udang kering.
Ikan bilis goreng + petai

Tuesday, January 19, 2016

Keropok!!!

Minum petang ni kami makan keropok...ada keropok lekor ada juga yang keping. Keropok ni stok dah hampir sebulan yang adik bawa dari Terengganu. Boleh dikatakan 2 jenis keropok ni cukup sedap dan puas hati bila makan ada rasa ikan, tidak seperti setengah keropok lekor hanya rasa tepung keras dan liat. 

Keropok lekor frozen bila dah goreng masih kekal kesedapannya.
Keropok keping tak cicah sos pun sedap.

English Breakfast

Pagi ni sediakan sarapan ala English untuk Mr Right yang bercuti. English breakfast ni cukup mudah untuk disiapkan... goreng sausage dengan sedikit planta/olive oil, masak telur hancur boleh juga buat omelette terpulang kepada pemakan tu suka makan apa dan akhir sekali panaskan kacang panggang readymade yang dalam tin. Kacang panggang ni saya masak letak bawang kuning dan tomato dadu. Penyediaannya cuma ambil masa 15 minit ...lepas tu blend buah epal untuk jus. Ok siap selamat bersarapan ya!!!

Have a nice day!!!

Monday, January 18, 2016

Paprik Daging

Petang ni salah satu menu untuk berbuka puasa ialah paprik daging. Ini la dia salah satu hikmat dan nikmat bila berpuasa ada je idea nak masak lauk tak perlu nak pening fikir nak masak apa...salah satu sebab juga selera orang berpuasa ni tak ada la pelik cuma apa yang terlintas difikiran akan terbuka liurnya.

Bahan-bahan yang saya guna untuk masak sepinggan paprik daging. Daging lembu dipotong nipis, sayur seperti baby corn, karot, tomato, daun bawang/sup, cili padi, serai yang dimayang halus, daun limau purut, halia, bawang putih, bawang besar kuning dimayang dan sos tomato/cili/tiram serta garam gula untuk tambah rasa.

Jagung Stim

Petang ni tak keluar...releks je kat rumah...dah la tak ada letrik aktiviti pun terbatas... kesudahannya masing-masing mengadap gajet. Bila duduk je rasa tak sah mesti nak makan sesuatu, lagipun dah waktu minum petang. Ada stok jagung tapi agak kemalasan nak buat bubur, jadinya pilih je kerja yang senang iaitu kukus atau stim jagung ianya cepat masak untuk dimakan. 
 
Jagung kukus yang sudah dimasak, sebelum makan letak sedikit mayonies, planta dan sedikit susu manis...boleh juga letak sedikit garam tetapi kalau planta masin tak perlu lagi garam. Senang je cara membuatnya kalau beli yang sudah masak satu cawan harganya RM3...jom la kita kita kukus sendiri.

Sunday, January 17, 2016

Mee Sup Ayam

Selamat berehat di hari minggu!!! Ada ke kaum ibu yang boleh berehat, biasanya hari minggu adalah hari paling banyak urusan. Bak kata dari buka mata bangun dari tidur pagi hingga la tutup mata untuk tidur baru boleh berehat. Apa pun tahniah kepada mereka yang berjuang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suri.

Kembali kepada cerita mee sup cap ayam!!! Ini adalah menu makan tengahari kami hari ini. Memandangkan seluruh perumahan kami diwartakan tiada letrik dari jam 7 pagi hingga 5 petang maka saya tak nak lama berada di dapur berpanasan. Lagipun pilih menu  sup ni sebabnya urusan yang tak perlu menggunakan peralatan eletrik. Balik je dari kelas mengaji terus reneh ayam untuk dibuat stok air rebusan ayam...sambil tu boleh la sedia bahan-bahan dan rencah untuk mee sup.
Ini dia rencah untuk dimakan dengan mee sup ayam.
 Kicap + cili padi yang potong + air perahan limau nipis, bawang merah/putih/halia yang digoreng.
Ini dia sup cap ayam!!! Untuk masak sup ni senang je, tumis bunga lawang dan kulit kayu manis, bawang putih dan halia...bila dah kekuningan masukkan air rebusan ayam tadi, letak serbuk lada hitam, sos ikan, sos tiram dan sedikit perasa garam atau perasa 3 rasa....akhir sekali tabur daun bawang dan daun sup.
Mee yang sudah disiram air panas...kalau tak nak mee boleh je ganti dengan kuey teow, bihun atau spagheti...terpulang selera masing-masing.

Taraaa!!! mee sup cap ayam sedia untuk dimakan!!!

Saturday, January 16, 2016

Nasi Lemak

Menu pagi sabtu untuk sarapan, masak nasi lemak ala hijau ataupun pandan. Pagi ni bekejaran juga memasak, sebabnya selepas masak nak pergi kelas mengaji...minggu ni tak boleh ponteng kelas sebab minggu depan nak minta cuti dengan ustaz.

Sepinggan ni untuk saya makan sebelum keluar mengaji...harapnya tidak tidur dalam kelas.


Friday, January 15, 2016

Masak Maggi Mee

Malam ni masak maggi mee!!! balik kerja petang tadi badan rasa tak larat nak masak, aku bagi cadangan makan maggi eeemmm ada je yang setuju, biasa la maggi ni kalau dah lama tak makan boleh buat kita jadi gian... tapi kalau ada pilihan lain cuba elak dari jadikan maggi makanan rutin.

Maggi mee yang aku masak kali ni cukup senang...cuma letak rencah udang, tomato dan sayur, potong cili dan daun bawang/sup....jom kita makan yang berasap!!!
Setiap seorang dapat semangkuk maggi mee sudah cukup untuk lena malam ini.

Thursday, January 14, 2016

Daging Masak Kari

Petang ni masak kari daging untuk makan malam, menu ni selera orang nak berbuka puasa. Alhamduillah hari ni dapat tunai puasa sunat hari khamis. Gara-gara penat aku dah tersilap guna rempah kari...terguna rempah kari ikan...walaupun salah rempah kari rasanya tetap ada. Tapi kalau tak cakap salah rempah kari pun tak apa sebabnya rupa kari tu tetap ada...cuma kali ni aku masak kari kurang berminyak sebab sengaja masak kari ala-ala kemelayuan.

Cara menghasilkan kari daging yang cepat dan ringkas - bawang merah, putih, halia dan tomato segar diblend. Tumis rempah 3 beradik, daun kari dan bahan yang diblend sehingga garing kemudian masukkan rempah kari dengan sedikit air masak sehingga pecah minyak. Kemudian masukkan daging masak hingga empuk dan ubi kentang serta masukkan santan, karot, cili segar, air asam jawa (jika guna banyak tomato kurangkan air asam jawa) serta perasakan dengan garam, gula atau gula melaka. 

Ini la dia kari kemelayuan yang tak berapa pecah minyak dan kurang kepedasan rempah kari...kalau kari mamak mesti nampak berminyak dan warnanya pun kemerahan.

Wednesday, January 13, 2016

Sambal Ikan Bilis Petai

Petang ni rumah rumah kami ada bau petai!!! Sedap punye pasal apa kisah...tetap masak dan makan dengan penuh selera. Sambal ikan bilis campur petai ni menjadi pilihan untuk makan malam kami memandangkan agak lama tak makan. Biasa la nak dapat petai bukannya senang kecuali bila ke pasar. 

Untuk menghasilkannya - wajib ada ikan bilis dan petai - bahan dikisar cili kering + bawang merah + putih + halia ditumis/masak sampai pecah minyak kemudian masukkan sedikit gula, garam dan air asam jawa seterusnya ikan bilis dan petai serta bawang besar yang dipotong.
Bila dah ada sambal ikan bilis petai ni tak perlu ada lauk lain cukup dengan sambal ini untuk makan nasi...lauk lain dah tak menjadi tarikan.

Tuesday, January 12, 2016

Teh O Limau Panas

Alhamduillah hari ke 2 berpuasa sunat...semoga diberi kesihatan yang baik untuk aku meneruskan ibadat berpuasa sunat ni berterusan...semoga tercapai niat aku untuk menunaikan ibadat puasa sunat beberapa hari dalam setiap bulan sepanjang tahun ini. Menu untuk berbuka seperti biasa semalam masak tomyam campur dan goreng telur dadar tapi terlupa nak ambil gambar untuk share kat sini...cuma hari ni sekadar kongsi teh o limau panas sebabnya minuman kegemaran aku sejak dulu setiap kali berbuka puasa. Amalkan minum teh o limau panas untuk detox dan buang angin dalam badan.
 
Bila dapat minum teh o limau panas badan pun rasa segar setelah seharian berpuasa.

Saturday, January 9, 2016

Menu Makan Tengahari

Sabtu...Pagi ni ke pasar basah untuk isi peti ais, stok lauk pauk dah kehabisan. Biasa la kalau ke pasar basah Selayang kena pergi pagi-pagi kalau lewat parking kereta agak sesak.
Hari ni dalam pasar tengok ikan tak banyak yang memikat hati... tapi terpaksa beli...ada yang nak makan ketam tapi tak banyak pilihan...yang ada cuma size kecil.

Jadi tengah hari ni kami makan nasi berlauk ketam masak lemak, bayam masak air, ikan tenggiri goreng dan ulam petai.
Masak lemak ketam - walaupun size ketam ni agak kecil tapi isinya padat, maka tertunai juga hasrat nak makan ketam.
Ikan tenggiri goreng memang puas hati bila dapat beli ikan segar kat pasar, sebab bila masak atau goreng dapat rasa nikmat kesegerannya tambah pula bila diperap dengan halia, kunyit dan garam.
Sayur kegemaran saya memang tak dapat nak elak jika ternampak bayam mesti beli. Masaknya cuma masak air letak udang kering, potong bawang merah dan putih, cili besar...rasakan dengan sedikit garam.

Sunday, January 3, 2016

Bingka Ubi Keladi

Selamat Tahun Baru 2016 semoga tahun ini aku mampu menunaikan amal ibadat dengan penuh keimanan, diberi kesihatan untuk melakukan kerja seharian dan dikurnia rezeki dan keberkatan sepanjang hari-hari yang dilalui. Hari ni sudah 3 hari tahun 2016 berlalu...3 hari juga menghabiskan cuti kat rumah.

Petang ni baru ada mood nak jenguk blog citerku...tu la padahnya bila lebih rehat semuanya tak jadi kerja. Baru je pasang azam tahun baru tapi dah terlalai. 

Hidangan minum petang ni aku buat bingka ubi keladi yang aku baru belajar di kutip dari satu blog yang cukup pakar dalam masakan...kenapa aku cakap baru belajar sebabnya pertama kali nak masak bingka ubi keladi ni...mohon empunya blog halalkan resipinya.

Hasilnya cukup memuasakan dan ternyata sedap, tidak sia-sia aku ambil resipi dari blogger @Sinar Kehidupan yatiememories.blogspot.com ....cuma aku ubah sikit resipinya sebab ubi keladi banyak jadi tambah sedikit gula dan pewarna kuning...kalau ada pewarna purple lagi cantik sebab nampak warna ala keladi@yam. Kepada empunye resipi... Terima kasih ubi keladi, ada resipi sedap kami cuba lagi.
Bakar dalam masa satu jam dengan suhu 200c...kalau ikut resipi asal permukaan tu dibakar bagi nampak garing atau sedikit gelap...tapi bagi aku macam ini sudah cukup cantik...cuma bingka keladi ini kena tunggu sejuk baru dipotong...sebabnya kalau dipotong masa panas bingkai tersebut agak lembut.