Tuesday, May 26, 2009

Air : Kurang Air Punca Pelbagai Penyakit


Minum air yang mencukupi sangat penting bagi menjana kesihatan yang baik.

Lazimnya badan kita memerlukan lebih kurang 60 hingga 70 peratus air. Ini kerana darah adalah dalam bentuk cecair, begitu juga dengan otot, paru-paru dan otak juga banyak mengandungi air.

Air diperlukan di dalam tubuh manusia untuk menyelaraskan suhu badan selain membekalkan nutrien kepada organ tubuh, membawa oksigen kepada sel, membuang bahan toksin serta memberi perlindungan kepada sendi dan organ anda.

Secara tidak disedari, seseorang kehilangan air dengan banyak dari tubuhnya menerusi kencing, pernafasan dan berpeluh. Bagi mereka yang aktif bersukan, kadar kehilangan air lebih banyak berbanding dengan mereka yang tidak aktif.

Penggemar kopi juga perlu minum lebih banyak air kerana kandungan kafen dalam kopi mempercepatkan anda kehilangan lebih banyak air daripada badan melalui proses kencing yang kerap.

Tubuh yang kekurangan air boleh mengakibatkan kesakitan sendi dan otot yang kronik, kesakitan pada bahagian bawah belakang, sakit kepala dan kehausan. Air kencing anda juga berbau kuat, amat kuning atau keperangan yang menandakan anda mengalami hidrasi.

Air perlu diganti lebih awal sebelum anda sendiri berasa kehausan.

Kadar terbaik jumlah pengambilan air yang diperlukan adalah mengikut berat badan anda dan dibahagikan dua. Hasilnya anda mengetahui jumlah auns air yang diperlukan oleh tubuh anda sehari.

Contohnya jika berat anda ialah 160 paun, anda hendaklah minum sekurang-kurangnya 80 auns air sehari. Jika anda melakukan aktiviti senaman, anda hendaklah menambah lebih lapan auns air pada setiap 20 minit ketika bersenam.

Jika anda berada dalam kapal terbang, langkah terbaik ialah meminum lapan auns air bagi setiap jam anda berada dalam pesawat itu.

Begitu juga jika anda tinggal di kawasan panas dan kering, anda perlu menambah dua auns lagi sehari dan ini bermakna keperluan harian air bagi tubuh anda boleh berganda dengan banyak mengikut persekitaran anda ketika itu.

Bukan semua air datangnya daripada yang diminum secara langsung tetapi kira-kira 20 peratus air juga datangnya daripada makanan yang dimakan setiap hari. Oleh itu minum air bermineral adalah yang terbaik kepada kesihatan berbanding dengan mengambil minuman ringan yang mengandungi gula dan berkalori tinggi.

Meminum teh herba yang tidak bersifat diuretik juga elok begitu juga dengan jus buah yang mengandungi vitamin dan nutrien. Minuman yang mengandungi elektrolit juga berfaedah tetapi awasilah kandungan gula dan kalorinya.

Bagi mereka yang liat minum air mungkin anda boleh menambahkan hirisan lemon, limau nipis bagi memberi kelainan rasa kepada air minuman anda itu.

Sumber Berita Harian.
Oleh: Habsah Dinin

Wednesday, May 20, 2009

Penjagaan Muka di rumah




[Tomato] [Timun] [Epal] [Lobak Merah] [Tepung Ubi] [Telur] [Susu Segar] [Asam Jawa]


Menjaga dan memanjakan wajah memang rutin wanita. Setiap wanita inginkan kulit yang cantik dan memiliki kulit wajah yang segar serta kelihatan muda sepanjang masa.

Bagi mendapatkan kulit wajah yang sempurna, ramai wanita tidak ragu-ragu mendapatkan rawatan kecantikan di salun pada setiap minggu.

Andainya anda ingin menjimatkan wang dan masa mengikuti sesi rawatan muka, mungkin tiba masanya anda memikirkan untuk melakukannya sendiri di rumah.

Ramai dikalangan wanita mengetahui khasiat tumbuhan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak seharian dalam membantu mendapatkan wajah yang lebih berseri-seri. Sebenarnya apa yang ada di dapur dan di dalam peti sejuk anda itu boleh dijadikan bahan untuk mencantikkan wajah dan mengekalkan kulit yang sihat.

Bahan-bahan ini membantu wanita untuk sentiasa tampil cantik dan menarik. Selain itu, ia mudah didapati dan murah tanpa perlu berbelanja besar.

Bagi mendapatkan kulit muka yang halus, ambil sebiji tomato masak dan kisar halus. Kemudian lumurkan pada muka kira-kira 20 minit. Setelah itu, bersihkan muka dengan air suma. Amalkan selalu. Buah tomato ini juga berfungsi untuk membersihkan kulit.

Asam jawa juga banyak kegunaannya selain menyedapkan masakan anda. Bancuh sedikit asam jawa bersama sedikit air dan tepung ubi, kemudian kacau hingga sebati. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Setelah itu pupurkan pada muka dan biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih.

Bagi mereka yang gemar menggunakan khasiat manjakani, rebus segenggam manjakani di dalam periuk tanah sehinggalah ia menggelegak dan pekat. Apabila air rebusan sudah suam, sapukan pada wajah dan tunggu sehingga kering. Setelah itu, cucilah wajah dengan air bersih.

Sebagai petua menghilangkan jerawat pula campurkan sedikit asam jawa dengan bedak sejuk atau tumbuk sedikit kulit kayu manis dan campurkan bersama dengan bedak sejuk. Lumurkan pada bahagian muka yang mengalami jerawat. Setelah beberapa ketika, bersihkan muka dengan air bersih. Amalkan selalu.

Mengelakkan kulit muka cepat berkedut bersihkan sebatang lobak merah dan kemudian parutkan lobak itu. Setelah itu, campurkan parutan lobak bersama sesudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Kacau hingga sebati dan oleskan pada wajah sekali sehari.

Daun senduduk boleh digunakan untuk menghilangkan parut. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun senduduk, kemudian upar-uparkan dengan tangan sehingga keluar air dan gosok daun pada parut. Ia juga boleh menghilangkan jerawat pada muka dengan mencampurkan airnya dengan bedak sejuk.

Tomato dan epal juga boleh digunakan untuk melicinkan kulit. Caranya parut tomato atau epal yang cukup masak, kemudian gosokkan perlahan-perlahan pada wajah dan leher. Gelatin pada tomato boleh menghilangkan parut. Biarkan selama 20 minit dan selepas itu cuci dengan air suam.

Akhirnya susu segar selain bagus diminum juga bagus untuk mendapatkan kulit muka yang gebu dan licin. Tidak percaya silalah cuba sendiri. Ambil segelas susu segar, sapu pada muka dan gosok hingga rata, melekit dan kering. Cuci dengan air suma dan lakukan dua kali seminggu.

Dengan melakukan sendiri rawatan muka di rumah lebih jimat dan selamat.

Sumbar: BH

Tuesday, May 19, 2009

Petikan dari ayat Al-Quran

"Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar."
Surah An-nisa ayat 40

Sebagai umatNya kita wajib bersyukur diatas segala apa yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita...

Tuesday, May 12, 2009

Kalamullah

Ganjaran kepada orang beriman
Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang beragama Yahudi dan orang-orang beragama Nasara (Nasrani), dan orang-orang Sabi'in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Bagarah: 62)

Huraian
Di dalam ayat ini dijelaskan maksud orang yang beriman ialah kaum muslimin, dan orang-orang yang 'Hadu' diertikan orang-orang yang kembali kepada Allah dan anak-anak cucu keturunan Yahudi, manakala orang-orang Nasara ialah pengikut-pengikut Nabi Isa AS.

Orang-orang Sabi'in pula ialah kumpulan musyrikin Arab sebelum kebangkitan Rasulullah SAW yang meragui kepercayaan kaum mereka lalu menerima akidah tauhid dan beribadat mengikut agama Hanifiyah iaitu agama Ibrahim a.s.

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat daripada semua golongan serta mengerjakan amalan yang soleh, akan memperoleh ganjaran mereka masing-masing di sisi Allah.

Allah menjanjikan tiada lagi sebarang ketakutan dan dukacita kepada golongan ini. Dia (Allah) mengambil kira hakikat akidah seseorang dan bukannya bangsa atau kaum. Kedudukan itu adalah sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW.

Adapun kedudukan selepas kebangkitan beliau, maka corak dan bentuk keimanan yang diterima telah ditentukan Allah.

Kesimpulan

Umat Islam perlu memelihara keimanan mereka kerana iman merupakan satu nikmat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah yang mana Allah menjanjikan ganjaran yang besar di sisi-Nya bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Friday, May 8, 2009

Hari IBU+BAPA

Artikel yang terdapat dalam akhbar hari ini..aku tatapi dan hayati setiap ayat yang direncanakan oleh penulis...kebetulan pulak saat hati aku rasa sebak bila terdengar dan terbaca ungkapan Selamat Hari Ibu...mungkin aku sudah kehilangan ibu di dunia ini untuk meluahkan ucapan ungkapan sayang dan penghargaan untuk seorang yang bergelar ibu. Inssyallah!!! ibu setiap waktu solat aku panjatkan doa dan ucapan buat mu ibu dan ayah yang tercinta.


Berita Harian: Agama

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak.

Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun.

Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya.

Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan.

Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.

Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu.

Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu.

Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun.

Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi.

Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka.

Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)